CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Rabu, 14 Mei 2008

Badi'uzzaman Sa'id Nursi

Tokoh Mujahid dan Mujadid Islam Abad ke14

Setelah enam ratus tahun bertapak sebagai sebuah kerajaan agung, sejarah menyaksikan detik detik kemuncak kelemahan Kerajaan Uthmaniyah. Sebenarnya detik yang berlaku disekitar awal abad ke 14H itu, diancam oleh pelbagai serangan dalaman dan luaran secara terancang.

Detik tanggal tahun 1924, merupakan sejarah hitam buat Kerajaann Uthmaniyah apabila Kamal Ataturk menguasai Turki. Sistem Khalifah yang menjadi mercu tanda kekukuhan negara Islam, mansuh akibat pengaruh Barat pimpinannya.

Pada ketika itulah muncul tokoh ilmuwan terulung dalam sejarah Turki iaitu Badi'uzzaman Sa'id Nursi. Beliau telah mengorbankan seluruh kehidupannya demi perjuangan untuk mengembalikan keagungan Islam yang musnah itu. Ketika itu, agama dilihat sebagai faktor kemunduran dan kelemahan umat. Fahaman sekularisme, materialisme, dan ateisme pula diterima baik oleh masyarakat tempatan atas nama kebebasan dan kemajuan. Badi'uzzaman atau nama sebenar Sa'id bin Mirza dilahirkan pada tahun 1876 (1294H) di Nurs, sebuah perkampungan kecil di daerah Khizan,Turki. Beliau juga dikenali sebagai Sa'id al-Nursi yang merujuk kepada tempat kelahirannya. Nursi dilahirkan dalam sebuah keluarga petani yang hidup serba sederhana.

Ibu dan bapanya berketurunan Kurdis dan mereka dikatakan berasal daripada salasilah keturunan Ahl dl-Bayt. Nursi pernah diberi gelaran Badi'azzaman (Keunggulan Zaman) oleh gurunya, Syeikh Fathu'llah. Walau bagaimanapun Nursi menolak kerana merasaka dirinya belum layak menerima gelaran itu. Sejak kecil lagi Nursi telah memperlihatkan minatnya untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau sangat gemar menghadiri majlis perbincangan ilmu antara ulama yang sering diadakan di rumah ayahnya.

Suasana keilmuan ini memberikan pengaruh yang besar pada jiwa dan pemikiran
Nursi. Minatnya itu menyuburkan pemikiran analisis-kritis, dialog, dan perdebatan.
Nursi mula merantau ketika umurnya sembilan tahun dalam usahanya untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan ramai alim ulama termasuk Syeikh Muhammad al-Jalali di Madrasah Bayazid bersempadan Iran. Di bawah bimbingan Syeikh Muhammad al-Jalali, Nursi telah mempelajari dan menguasai kitab-kitab muktabar seperti Jam' al-Jawami, Sharh al-M.awaqif, dan Ibn Hajar.

Disinilah bermulanya proses awal perkembangan dan pembentukan pemikiran Nursi. Peluang di peringkat ini amat berharga pada Nursi, lalu sentiasa meneruskan pengajian dengan beberapa orang tokoh ilmuwan terkenal. Keterampilan beliau mula menampakkan ketokohan sebagai seorang ulama, lalu dikenali waktu itu sebagai ulama muda yang hebat.Gabenor Bitlis, Umar Basha sangat mencintai ilmu dan memuliakan ulama. Oleh sebab itu beliau mempelawa Nursi supaya tinggal di kediaman beliau yang mempunyai sebuah perpustakaan besar. Nursi tidak melepaskan peluang itu demi memenuhi cita-citanya. Umar Basha memberi peluang kepada Nursi untuk mendalami dan menghafal kitab-kitab seperti aI-MataIi, al-Mawaaif, dan al-Mirqat.

Dalam tempoh dua tahun di kediaman Gabenor itu, beliau telah berjaya menguasai ilmu al-kalam, mantik, nahu, tafsir, hadith, dan fiqh dengan mantap. Tetapi, minatnya untuk meneruskan usaha memperluaskan ilmupengetahuan menyebabkan beliau meninggalkan Bitlis. Dalam pengembaraannya itu beliau menyambut pelawaan Gabenor Hasan Basha untuk berkhidmat di Wan sebagai ulama iaitu pada tahun 1897(1314H). Setelah beberapa ketika tinggal di kediaman Hasan Basha, Nursi sekali lagi dijemput untuk tinggal di kediaman Tahir Basha, Gabenor baru di Wan.

Ketika berada di Wan, Nursi sempat bertemu dan berdialog dengan tokoh-tokoh ilmuwan moden. Kerana menyedari kelemahannya dalam bidang ilmu moden, mendorong beliau berusaha mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu sains moden seperti fizik, kimia, biologi, ilmu kaji bumi, dan astronomi. Selain ilmu sains beliau turut mempelajari ilmu sejarah, matematik, geografi, dan falsafah moden. Setelah menguasai bidang agama dan ilmu sains moden, sekali lagi Nursi diberi gelaran sebagai Badi'uzzaman. Gelaran tersebut diterima bahkan dijadikan sebahagian daripada nama beliau. Pengalamannya semasa menuntut ilmu memberikan kesedaran pada beliau betapa perlunya dilakukan perubahan terhadap sistem pendidikan.

Oleh sebab itu, beliau telah bertindak menggabungkan dua cabang ilmu iaitu ilmu agama dan ilmu sains moden yang sebelum itu telah dipisahkan. Nursi berazam untuk mengubah persepsi negatif masyarakat yang berpandangan bahawa ilmu agama dan ilmu sains moden tidak boleh digabungkan. Pendekatan beliau ini dilaksanakan semasa kerjayanya sebagai seorang guru di madrasahnya yang dikenali sebagai Madrasah Khur Khur. Nursi berpendirian bahawa umat Islam perlu menguasai kedua-dua cabang ilmu tersebut demi masa depan umat Islam seluruhnya.

Beliau juga gigih berusaha untuk menubuhkan universiti yang akan dinamakan Madrasat al-Zahra di Timur Turki. Walau bagaimanapun, usaha beliau itu gagal kerana tidak mendapatkan persetujuan daripada golongan yang berpengaruh di Istanbul. Sungguhpun begitu, Nursi terus berusaha untuk merealisasikan diri umat Islam sebagai "Umat Contoh". Pengamatan dan kesedaran Nursi itu telah mendorong beliau mengatur gerakan ke arah mereformasi sistem pendidikan yang wujud pada zamannya.

Beliau berpendirian teguh bahawa dalam dunia moden hari ini, ilmu-ilmu agama dan ilmu-ilmu sains moden perlu bergerak seiring. Apabila Turki diisytiharkan sebagai sebuah negara Republik pada 29 Oktober 1923, Turki bertukar wajah menjadi sebuah negara sekular. Kamal Ataturk melaksanakan dasar-dasar pemerintahan berlandaskan fahaman sekularisme yang anti-Islam. Untuk menentang dasar itu, Nursi kemudiannya menyokong pembentukan Parti Demokratik Turki. Harapannya agar dapat melaksanakan pemerintahan yang adil dan sedikit kebebasan diberikan kepada gerakan Islam. Menurut Nursi, sekiranya Kerajaan Sekular boleh membenarkan fahaman ateis, mengapa tidak dibenarkan Islam bergerak dengan bebas.

Nursi mempunyai pandangan yang lain tentang konsep "kebebasan" yang dilihatnya sebagai satu keperluan asas. Keperluan ini harus dihormati dalam setiap agama dan bangsa. Namun, konsep "kebebasan" itu tidak sepatutnya disalahtafsirkan memandangkan pengisian maksud "kebebasan" yang tidak selari dengan peraturan Islam. Atas hasrat inilah ketika perisytiharan perlembagaan negara, Nursi berjuang untuk menegakkan corak pemerintahan berasaskan Perlembagaan yang berteraskan kepada syariat Islam. Walau bagaimanapun, perjuangan suci beliau itu mendapat tentangan daripada golongan yang masih belum memahami kehebatan isi kandungan al-Quran.Nursi berpandangan bahawa kesedaran serta kefahaman yang jelas perlu diusahakan meskipun memakan masa yang panjang. Yang penting isi kandungan al-Quran benar-benar difahami.

Beliau menyedari bahawa kekerasan hanya mencetuskan permusuhan dan tidak membawa sebarang kebaikan kepada manusia. Dalam usaha itu, Nursi menyeru umat Islam agar menilai golongan yang masih ragu-ragu terhadap Islam. Mereka perlu dikenal pasti sama ada dalam kalangan umat Islam mahupun kaum bukan Islam. Mereka yang terlibat itu dianggap sebagai satu golongan yang memerlukan bantuan dan tunjuk ajar daripada umat Islam. Beliau sama sekali tidak mahuterus melabelkan mereka sebagai musuh. Melalui kaedah ini, seruan Islam lebih mudah disampaikan dan dapat diterima baik oleh masyarakat. Rasa'il al-Niir merupakan karya teragung Nursi yang merupakan khazanah berharga sumbangan pemikiran beliau. Karya agung ini seharusnya dimanfaatkan oleh umat Islam sepanjang zaman. Sebenarnya, Rasa'il al-Nur merupakan satu tafsiran terhadap maksud al-Quran al-Karim.

Secara umum isi kandungan kitab ini merangkumi persoalan keimanan. Menurut Nursi, satu-satunya rujukan dalam menghasilkan kitab Rasa'il al-Nur ini ialah kitab suci al-Quran al-Karim. Antara persoalan yang menjadi kupasan dalam karyanya itu ialah seperti ilmu Mustalah al'Hadith, falsafah, Ilm al-Kalam, dan ilmu Tasawuf. Dalam perbahasan mengenai Mustalah al-Hadith, Nursi menekankan hadith-hadith yang sering dipertikaikan masyarakat. Di sini, beliau telah mengemukakan perbahasan yang menarik. Antara yang dibahaskan ialah yang berkaitan dengan kisah Dajjal, turunnya Nabi Isa a.s, Imam Mahdi, Nabi Khaidir, Malaikat, tanda-tanda kiamat, dan sebagainya. Dalam memperkatakan tentang falsafah, Nursi dalam risalah al-Madfchol ila al-Nur menulis bahawa falsafah yang ditentang ialah falsafah yang merosakkan manusia dan yang menentang agama.

Oleh sebab itulah, pelajar-pelajar aliran falsafah moden tidak menentang Rasa'il al-Nitr, malah mereka sama-sama menyokong kandungan Rasa'il al-Nur tanpa sebarang keraguan. Rasa'il al-Nur turut memuatkan perbahasan mengenai Ilmu al-Kalam. Dalam risalah al-Maktubat misalnya, Nursi menulis bahawa ma'rrfatullah yang dibentangkan oleh al-Razi melalui kaedah Ilm al-Kalam itu mengandungi kelemahan dan
kekurangan pada pandangan Ibn al-Arabi. Ma'rifatullah yang terhasil melalui jalan Tasawuf juga mempunyai kelemahan jika dibandingkan dengan ma'rifah yang dibentangkan oleh pewaris nabi. Ulama pewaris nabi dalam kupasannya ialah mereka yang menurut manhaj al-Quran.Rasa'il al-Nur juga memuatkan ajaran tasawuf. Tetapi kupasan mengenainya tidak bermaksud menjadikan pembaca seorang ahli sufi. Dalam hal ini, Nursi sering kali menyebut bahawa zaman ini bukan zaman tasawuf atau tarekat, sebaliknya merupakan zaman untuk menyelamatkan iman umat manusia. Jelas dalam karya itu, beliau menyifatkan bahawa manusia tidak mungkin dapat memasuki syurga tanpa iman, tetapi ramai juga yang dapat memasuki syurga tanpa tasawuf.

Manusia sememangnya tidak dapat hidup tanpa roti (gandum), tetapi mereka boleh hidup tanpa buah. Maka tasawuf itu ialah buah manakala hakikat Islam (keimanan) itu ialah roti. Dalam hal ini beliau menegaskan bahawa sesungguhnya jika sekiranya Syeikh Abd al-Qadir al-Jaylani dan Syeikh al-Naqshaband (pengasas Tarekat Naqshabandiyah), Imam Rabbani, dan yang seumpama mereka,hidup pada zaman kita ini, nescaya mereka akan mencurahkan segala kemampuan untuk memperteguh hakikat keimanan dan akidah Islam.

Hal ini demikian kerana kedua-duanya (iman dan akidah) sumber kepada kebahagiaan yang sebenar dan abadi. Rasa'il al-Nur mendapat sambutan yang baik dalam kalangan umat Islam Turki dan juga mereka yang berada dinegara-negara lain. Memandangkan isi kandungannya mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri, kitab ini perlu disebar
kepada umat Islam di seluruh dunia.

Menyedari kepentingan ilmu, kitab Rosa'il al-Nitr ini diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa lain. Di samping bahasa Arab dan Inggeris, kitab Rasa'il al-Nur juga diterjemahkan ke dalam bahasa Jerman, Itali, Perancis, Rusia, Rumania, Bulgaria, Parsi, Kurdi, Urdu, India,Malaysia, dan beberapa bahasa lain Asia Tengah.Kegigihan perjuangan ulama Islam silam walaupun menemui kegagalan perlu diteladani oleh umat Islam akhir zaman ini.

Yang paling penting, masyarakat Islam boleh menilai kelemahan dan kekurangan masyarakat ketika itu. Perjuangan Badi'uzzaman Sa'id Nursi walaupun bermula sebelum kemenangan Kamal Ataturk, namun umat Islam pada zaman itu terlalu jauh menyimpang daripada ajaran Islam sebenar. Oleh sebab banyak usaha beliau ketika itu mendapat banyak tentangan daripada banyak pihak. Tetapi seandainya umat Islam ketika itu mahu mengikut saranan Badi'uzzaman sudah pasti Kamal Atartuk dapat dikalahkan dengan mudah.

Oleh sebab itu, perjuangan Badi'uzzaman ini perlu disebarluaskan dalam kalangan umat Islam agar dapat dijadikan panduan dalam memperkasa iman dan akidah umat Islam. Supaya peristiwa itu tidak berlaku lagi, maka wajar umat Islam di negara ini menilai saranan tokoh ini. Antara saranannya yang penting ialah supaya umat Islam menguasai ilmu sains moden yang diasaskan atas dasar islamisasi.

0 komentar: